Monday, April 20, 2009

Laporan sesi Usrah muslimin Tarikh 17hb April 2009

Akidah Kepercayaan Dan Perundangan Akhlaq

Khullasah (kesimpulan) kepada hakikat ini, ialah bahawa Islam itu tidak lain dan adalah lanjutan kepada agama Hanif yang mudah dan lapang ruangnya. Hanif yang bermaksud lurus adalah agama Allah yang telah dibawa oleh kekasih Allah, Ibrahim a.s dan diturunkan untuk zuriat keturunannya untuk disebarkan kepada umat yang diutuskan. Termasuklah Rasulullah S.a.w yang menjadi khatimah kepada segala perutusan.


Hakikatnya, dari suatu masa agama islam adalah kesinambungan dari agama hanif yang dibawa oleh Ibrahim a.s, sebagaimana dasar dan akidahnya tetap sama dan tidak berubah, iaitu mengesakan Allah yang maha satu. Malah langsung tidak tergambar kepada kita yang seruan para Anbiya’ itu akan berlainan di antara satu den gan yang lain mengenai soal ‘aqidah, sebab soal ‘aqidah adalah soal berita dan perkhabaran dan tidak akan berlainan perkhabaran dan berita dan seseorang itu sekiranya perkara itu benar. Yang berubah hanya, melainkan syariat dan syiarnya sahaja mengikut kesesuaian sesuatu kaum itu. Ini kerana syariat dan perundangan bertujuan mengatur penghidupan sesebuah masyarakat. Peribadi manusia adalah berbeda kualiti dan kuantitinya sesuai dengan pengutusan seseorang nabi itu, sebab perundangan itu bukanlah untuk menyampaikan perkhabaran dan berita semata-mata tetapi ia bertujuan untuk mengadakan dan mewujudkan masyarakat yang sempurna. Sudah barang pasti di mana masa dan keadaan sesuatu kaum itu memberi kesan dan pengaruh-pengaruh terhadap perkembangan perundangan sebab timbulnya undang-undang itu adalah demi maslahat dan kepentingan serta faedah manusia untuk dunia dan akhirat.

Membudayakan Syariat..Betul dan Tetapkan Kefahaman Kita

Begitulah hendak diceritakan yang agama itu lurus semasa awal-awalnya tapi masa kian masa agama itu mula tercampur aduk. Orang ‘Arab sebagai orang yang mula menerima kedatangan islam. Namun demikian setelah sekian lama, agama yang dibawa telah diwarisi dan seolah diadatkan. Mereka mula itu mencampuradukkan yang batil dengan yang haq, haq yang mereka pusakai dari datuk nenek mereka mula diadukkan dengan kebatilan yang datang dengan tidak disedari, lalu cacat dan tercelalah seluruh bangsa ‘Arab bila diselubungi kejahilan, hanyut dan sesatlah mereka bersama mereka orang-orang yang terpukau dan terpedaya oleh kepalsuan, dengan itu menyusup masukilah syirik ke dalam mereka. Dan akhirnya menyembah berhala sudah menjadi kebiasaan (adat@budaya) kepada mereka, keruntuhan akhlaq dan perkara—perkara batil yang mereka tiru juga ikut sama menyusup masuk. Dengan kerana itu maka jauhlah mereka dan suluhan Tauhid dan ciri-ciri agama Hanif, akhirnya setelah jangka masa yang panjang menyeluruhlah jahiliyyah yang ketat, yang sukar hendak dilekangkan, dan berikut itulah mereka berhadapan dengan kebangkitan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam.

Begitulah juga yang boleh dikaitkan dengan situasi sekarang ini, di saat abang Azmer sendiri memberikan contoh berikut. Di mana beliau mengatakan manusia, kaum melayu contohnya adalah suatu kaum yang berpegang teguh dengan adat kemelayuannya. Terkenalnya ketamadunan melayu adalah ciri kemelayuan dalam bangsa melayu. Ada adat-adat melayu yang boleh diakui baik dan mirip dengan ajaran islam antara contohnya menghormati orang yang lebih tua. Adab melayu memang pantang akan anak-anak muda yang tidak menghormati orang yang lebih tua. Kanak-kanak diusia muda mereka telah pun diterap dengan adab-adab bersama orang tua. Begitulah apabila diperhatikan apabila seseorang yang masih mengamalkan budaya yang baik dan elok, pastilah orang itu akan dianggap seorang yang baik dan mulia dalam masyarakat.

Begitulah sebaliknya bagi yang meninggalkan adat budaya melayu. Mereka akan disamakan sebagai manusia yang tidak beradab dan tidak sopan disisi masyarakat. Begitulah kepentingan adat budaya sesuatu bangsa itu, kerana pentingnya sesuatu adat itu apabila ia kadang-kadang akan mempengaruhi AKHLAK seseorang itu. Contoh terbaik yang dapat dibawa disini ialah adat orang melayu yang tatkala berjumpa dan bertemu akan memberikan salam dan bertanya khabar, apabila melalui di hadapan orang yang lebih tua, akan berjalan tunduk dan tatkala orang tua yang berbicara tidak menjampuk atau mencelah. Tidak kiralah sesuatu perbuatan itu dipandang baik atau buruk oleh sesuatu masyarakat, apabila perbuatan itu telah menjadi suatu adat dan budaya, pastilah ia akan selalu mengulangi dan mengamalkannya tanpa rasa susah dan payah. Contohnya seseorang yang sering membaca dan membalas mesej di handphone tatkala memandu, pastilah sesuatu yang senang untuk melakukannya kerana sudah menjadi kebiasaaan dan adat baginya. Walaupun perkara itu adalah salah disisi undang-undang Malaysia.

Naqib G7 dan Presiden Alumni

Bagaimana nampakkah kita akan kepentingan sesuatu adat mempengaruhi akhlak kehidupan manusia. Adat yang baik menuju kearah kebaikan, adat yang buruk membawa binasa. Inilah yang kita ingin cuba terapkan disini, andai kita melihat dari suatu sudut perspektif yang berbeza apabila agama itu dapat dibudayakan dan menjadi adat yakni kebiasaan bagi manusia. Pastilah kita akan melihat bi’ah islamiyyah subur di bumi Malaysia ini. Dan itulah contoh budaya yang cuba diterapkan oleh kerajaan pimpinan Kedah dan Kelantan dalam menghidupkan budaya islam di negeri masing-masing. Contohnya papan iklan yang memaparkan iklan yang menutup aurat, memberhentikan perniagaan setelah masuk waktu solat dan sebagainya.

Ada persoalan yang dikemuka oleh Encik Hirzi, dimana beliau bertanyakan, adakah suatu adat, yakni adat yang baik itu jika diamalkan ia mengambarkan seseorang itu telah membuat pahala dan kebaikan. Jawapannya? Tidak..suatu adat atau budaya atau perbuatan yang dilakukan perlulah diselangi dengan kefahaman ilmu yang sebenarnya. Andainya seseorang itu mengamalkan adat yang elok tapi bukanlah kerana kefahaman agama yang mana setiap yang dilakukan itu adalah kerana Allah. Pastilah ia tidak mendapat apa-apa ganjaran pahala pun kecuali pandangan mulia disisi manusia sahaja. Oleh itu, adat dan budaya walaupun pentingnya ia mempengaruhi akhlak manusia haruslah difahamkan dengan ajaran islam yang sebenarnya, barulah adat dan budaya yang diterapkan mendapat pengiktirafan Allah dan menjadi saham pelaburan kita di akhirat nanti. Di dunia kita dimuliakan dan diakhirat pun sama.


Luahan perasaan kot !!! He he he..


Fokus elaborasi dan senyum “aku ketahuan”


Main-main tapi “Mantop”


Istiqamah dalam beramal – Produk Radix untuk santapan selepas usrah


Sesi usrah menuju ke puncaknya, Abang Azmer membuka sesi soal jawab dan rungkaian kepada halaqah. Sesi dimula Encik Saiful dengan merungkai dan menyimpulkan kembali segala petikan dan karangan dalam Kitab Fiqh As-sirah tadi, sebelum mengulas sedikit sebanyak di dalam kontek situasi semasa.

Encik Anas menghangatkan lagi keadaan dengan menyamakan situasi masyarakat jahiliyyah dulu yang berpegang dengan adat dan pegangan yang pelik-pelik tidak ubah seperti masyarakat kita ada yang masih mengamalkan pelbagai retorik-retorik dan ritual-ritual karut marut. Dan tempiasnya, turut terkena akan para pejuang islam. Encik Anas serius menyuarakan pendapatnya yang membimbangkan situasi kita para ahli jemaah dan mempunyai fikrah islamiyyah ini. Iaitu tatkala tiba hal yang melibatkan pernikahan dan perkahwinan, banyak yang mula mengendurkan tali kefahaman mereka. Penikahan dan perkahwinan sesuatu yang kita ketahui banyak membabitkan dan melibatkan adat dan budaya, ia bukan sahaja antara kedua mempelai itu, tetapi melibatkan kedua-dua buah keluarga dan saudara mara. Fahamilah kita kadang-kadang lain orang lain budayanya lain negeri lain adatnya, ada yang elok dan ada yang kurang eloknya. Ada yang berunsur islamik dan ada yang jauh menyimpang dari agama. Oleh itu, kefahamanlah yang akan menyelamatkan keadaan ini. Bukanlah dengan menolak sesuatu adat itu suatu penyelesaian yang sebaiknya dan menerima bulat-bulat adat itu juga terbaik penyelesaiannya. Akan tetapi, kefahaman kita dan kebijaksanaan dan tolak ansur kita menangani permasalahan itu. Contoh mudah bagi situasi perkahwinan-PERSANDINGAN, telah banyak dihebohkan persandingan adalah suatu adat melayu yang terbukti bukan suatu yang digemari oleh mereka yang mempunyai fikrah kefahaman islam. Ada yang menentang bulat-bulat dan ada yang menerima sepenuhnya. Persandingan dari suatu sudut bukanlah suatu yang salah disisi agama, akan tetapi tatkala adat persandingan yang dilaksanakan tidak berlandaskan ilmu dan syariat. Bermulalah sesuatu adat itu kearah kebinasaan dan dosa-dosa.

Pusingan seterusnya kepada Encik Azahan melontarkan pandangannya, sebagaimana biasa ayat yang dimulai Encik Azahan adalah dengan bersetuju dan menyokong pendapat kedua-dua sahabat yang memberikan pandangan tadi. Encik Azahan me”mantop”kan ulasan yang dibuat oleh Encik Anas dengan menambahkan lagi satu lagi contoh masa kini yang mana walaupun membudayakan agama adalah suatu kebaikan, tetapi haruslah berhati-hati dalam mengamalkannya. Pengamalan tanpa ilmu dan kefahaman boleh membawa kepada suatu ibadat yang sia-sia sahaja. Contoh yang dibawa oleh Encik Azahan ialah Haji, masyarakat melayu sudah sinonim dengan amalan melaksanakan haji, cukup sahaja waktu dan kewangan pastilah ramai yang berpusu-pusu melaksanakannya. Alhamdulillah, cukup cantik dan baik, ibadat agama telah berjaya dibudayakan, cuma yang membimbangkan adalah banyak para lambaian haji tidak memahami dan mengetahui rahsia dan matlamat haji yang akan dilaksanakan. Ibadat haji yang dilaksanakan tidak memberi kesan apapun Cuma yang diperolehi ialah penat lesu dan hilang wang simpanan sahaja.

Masih ada lagi tiga sahabat yang menanti untuk memberikan ulasan, Encik Hairul, Encik Hirzi dan Encik Izny. Abang Azmer menukarkan sedikit rentak perbincangan, mereka bertiga diminta untuk mengulaskan perbezaan antara iradah kemahuan anda, yang berada di belakang ‘aqidah anda, dan dengan adanya ‘aqidah di belakang iradah kemahuan anda, betapa jauhnya beza antara keduanya dari segi ketinggian dengan kerendahan, antara kemuliaan dan kehinaan. Keliru? Mmm..sudah tentu. Namun demikian huraian Encik Hairul yang membuka kembali kefahaman kami semua. Encik Hairul menjelaskan sekiranya manusia meletakkan kemahuannya di hadapan perkara dasar dalam agama, pastilah ia membawa kepada kerosakan dalam beragama. Akan tetapi sekiranya aqidah mendahului iradah kemahuan, pastilah setiap setiap kemahuan tadi boleh dijadikan pemangkin dan perangsang untuk menegakkan sesuatu akidah itu.

Encik Hirzi dan Encik Izny, masing-masing menambah apa yang diceritakan Encik Hairul tadi, dengan mengatakan begitu juga adat dan budaya, sekiranya ia sejajar dan selari dengan syiar islamiyyah pastilah ia boleh membantu dan menegakkan syiar islam itu sendiri. Akhir kata mereka, membudayakan agama itu bagus dan perlu, yang pentingnya masih sama seperti yang dipersetujui sebelum ini, adalah bagaimana kefahaman dan ilmu yang selari dan sama yang diajar dan dituntut oleh syiar islam itu sendiri.

Akhir kesimpulannya, adat atau budaya dan perbuatan tidak dapat tidak adalah suatu yang penting dalam kita membentuk suatu akhlak yang karimah. Adat tidak dapat tidak boleh menjadi sesuatu perangsang dan pemangkin untuk kita lebih beradab, tidak kira samada dengan adab yang mulia atau adab yang hina. Sebagaimana ianya juga diakui salah satu sumber hukum yang diyakini ulama’ untuk berpegang dan berisytihad dengannya. Alangkah indahnya apabila kita dapat membudayakan syariat, para G7 dan keluarga membudayakan syariat, dan hinggalah ke akhirnya Malaysia membudayakan syariat. Pastilah bi’ah islamiyyah, islam yang syumul pasti bukan lagi dongengan dan fantasi semata-mata untuk tersemainya khalifah islamiyyah nanti. InsyaAllah.

0 comments: