Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, June 23, 2009

Laporan URuS Zon Tengah 3/2009 (JUN)

Pagi itu cerah dan tenang. Majlis Usrah yang sepatutnya dimulakan pada seawal jam 10 pagi terpaksa ditunda setengah jam gara-gara kelewatan ahli alumni mahupun ahli g7 sendiri. Yang hanya menepati masa ialah Pengerusi SUTRA Akhi Izny dan Pengerusi SUPI Akhi Alnasrie. Namun kedua-duanya tetap bersangka baik pada yang lain. Walaupun dimulakan agak lewat, usrah kali ini betul2 hidup dek pertanyaan pedas dan isi usrah yang mantap. Juga diselangi dengan telatah si comel anak-anak sahabat alumni yang lain. Ustaz Nik Mohd Anuar, Pengerusi Lujnah tarbiyah Dewan Pemuda PAS Bandar Tun Razak penyampai yang cukup berwibawa

Majlis dimulakan dengan ummul kitab Al-Fatihah oleh pengerusi majlis Akhi Hirzi tepat jam11pagi. Ustaz Nik Mohd Anuar (UNMA) memulakan sessi usrah dengan beberapa hadis rasulullah SAW. Hadis pertama ialah dari riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi:

“Pemerintahan adalah terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu, pemerintahan Nubuwwah (kenabian), pemerintahan ‘Ala Nubuwwah (para sahabat dan Khulafa’ Ar-rasyidin), pemerintahan yang ‘menggigit’ (zaman perpecahan umat Islam), pemerintahan Maliki Jabriyyah (kuku besi) iaitu zaman umat Islam ditindas dan dijajah, dan terakhir sekali ialah pemerintahan ‘Ala Nubuwwah (kembali kepada pemerintahan seperti zaman nabi dan sahabat”.

Dan ketahuilah sahabat-sahabat, kita sekarang sedang berada di pemerintahan Maliki Jabriyyah dimana kita melihat umat Islam ditindas dan dijajah tidak kira dimana. Chechya, Afganistan, Iraq, Iran, Bosnia, Pattani, Albania dan sudah tentu tempat kiblat pertama umat Islam, Palestin.

Hadis kedua yang dihuraikan oleh UNMA ialah, “Akan terurai satu demi satu kekuatan umat Islam, iaitu kekuatan pertama ialah pemerintahan (kerajaan Uthmaniyyah) dan terakhir sekali ialah solat (solat diringan-ringankan)”

Menurut UNMA, sekarang juga kita sudah melihat bibit-bibit penyakit meringankan solat ini berlaku pada ahli-ahli jemaah, solat diakhir waktu, ‘subuh gajah’ dan sebagainya. Apatah lagi pada mereka yang tidak mempunyai asas agama, sudah tentu lebih ramai yang meringankan solat. Ikatan terakhir umat Islam kini sudah terlerai dan musnahlah kekuatan umat Islam sekiranya solat diringankan dan ditinggalkan (Astaghfirullah).

Penceritaan Kerajaan Uthmaniyyah dimulakan dengan kronologi pada seawal tahun 1299 M dimana Sultan Uthman berjaya menawan daerah Bursa sehingga lah pada sultan ke-34. Sebelum itu, Turki menjadi pusat pemerintahan Raja Bizantine (Kristian). Dan akhirnya pada tahun 1453 atau secara tepatnya pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople berjaya ditawan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan)

Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al Fatih" iaitu yang menang.

UNMA menambah dengan hadis riwayat Imam Ahmad:
Sabda Rasulullah saw ketika menggali Parit Khandaq; "..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……"

Namun, Constantinople (Islambol) mengalami kejatuhan empayarnya ketika era Sultan Sulaiman disebabkan oleh beberapa factor iaitu:

1. Timbul fahaman Syiah yang mengakibatkan kecelaruan fahaman dan perpecahan umat Islam
2. Jajahan di Vienna, Austria menyebabkan kebangkitan tentera Kristian menentang kembali umat Islam disaat perpecahan dikalangan umat Islam

Sultan yang terakhir mempertahankan empayar Uthmaniyyah adalah Sultan Abdul Hamid yang digelar oleh pihak kristian sebagai sultan ‘merah’. Baginda juga berperanan menyebarkan Islam ke pelusuk dunia termasuk Tanah Melayu melalui utusan baginda Mohammad Kamil Din. Sultan Abdul Hamid akhirnya dibuang negeri dan mangkat pada 10 Feb 1918.

Pada tahun 1922, kerajaan yang dibentuk oleh Mustafa Kamal Attartuk memansuhkan kesultanan yang selama ini mempunyai kuasa mutlak pemerintahan. Pada tahun seterusnya iaitu 9 oktober 1923, perjanjian Lauzzine dimeterai dan Rebuplik Turki diisytiharkan. 13 Mac 1924, sistem pemerintahan Khilafah dimasuhkan oleh durjana Attartuk serta undang-undang syariah digantikan dengan undang-undang sivil.

Revolusi yang dibuat oleh Attartuk secara total ini mengubah sama sekali sistem pemerintahan Islam kepada sekular. Tedapat lagi perubahan yang dilancarkan olehnya termasuklah menutup sekolah agama dan melarang cara pemakaian secara Islam. Usaha ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menjauhkan umat Islam dari amalan hidup Islam dan mengenal Islam itu sendiri. Niatnya adalah supaya umat Islam lemah dan tidak berupaya untuk menentang kembali.

Selain itu, kalendar Hijrah juga diganti dengan kalendar Greogian. Pada 1928, tulisan arab diganti dengan tulisan roman dan pada 10 April tahun yang sama, agama Islam sebagai agama rasmi dimansuhkan. Sekecil-kecil perkara sekalipun, Attartuk mengubah secara total untuk menjauhkan umat Islam dari ulama’ dan jauh dari mengenal agama sendiri. Pada 1933 pula, azan dan iqamah diharamkan kecuali jika dilaungkan dalam bahasa Turki. Seterusnya, cuti umum diganti dari hari Jumaat kepada hari Ahad.

Kita melihat sahabat-sahabat, sejak dari kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah, umat Islam ditindas, dijajah, tanah dirampas, dicerca, dihina, dipijak dan diinjak2 bagai semut disebabkan perpecahan dikalangan umat Islam serta tiada kekuatan rohani dalam jiwa masing-masing. Sehinggalah sekarang, tahun 2003, serangan terhadap Iraq dan terbaru 2008, rejim Israel menyerang Palestin untuk merampas hak-hak umat Islam Palestin.

Sesuai dengan hadis Rasulullah :
“Suatu masa nanti musuh-musuh Islam akan meratah umat Islam sebagaimana kamu menghadap makanan dan bersiap untuk meratah makanan tersebut”. Sahabat bertanya:” Adakah bilangan kami pada masa itu terlalu sedikit?” Baginda menjawab: “Tidak, bilangan kamu ramai tetapi kamu seumpama buih di lautan yang hanyut. Pada masa itu, Allah tarik rasa gerun pada musuh Islam dan menyuntik rasa cinta dunia dan takutkan mati pada umat Islam”.

Namun begitu, Ibn Khaldun pernah menyatakan dalam kitabnya ‘Al-Muqaddimah’ bahawa pemerintahan Islam sentiasa berputar dan proses putaran ini mengambil masa kira-kira 400 tahun lamanya. Ini bermakna pemerintahan Islam akan kembali menyinar sekiranya umat Islam bersatu padu dan memperkuatkan kekuatan rohani. Seperti hadis Rasulullah ada menyebut “Cahaya Islam akan sampai kemana sahaja seumpama cahaya matahari”.

Ada juga hadis mengatakan “ Akan terus menerus ummatku akan menegakkan kebenaran dan siapapun tidak boleh mengugat sehinggalah Allah datangkan hari kiamat”. Dua hadis ini seolah-olah mencabar kita sebagai dai’e di muka bumi ini untuk terus berjuang menegakkan Islam dan menyebar risalah agung mewarisi perjuangan Rasulullah.

Sebagai dai’e, kekuatan rohani amat perlu untuk diperkukuhkan. Penulis berasa terpanggil untuk berkongsi sedikit keperibadian Sultan Muhammad Al-Fateh sehingga baginda disebut Rasulullah dalam hadis dan berjaya menawan Kota Constantinople. Ianya mungkin boleh menjadi garis panduan dan contoh untuk kita sama-sama mentarbiyah diri. Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al Fateh? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" di dalam Hadis tersebut.

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih dan Muhammad The Conqueror kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

Baginda menerima pendidikan secara menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra.

Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang di dalam menangani tipu helah musuh.

Baginda sentiasa bersifat tawadhu' dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan selepas berjaya menawan kota Constantinople, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

Waallahu a’lam..semoga dapat dijadikan iktibar.

"MEMPERKUKUH EKONOMI UMMAH, MENYUSUR SUNNAH RASULULLAH"
Disediakan oleh,
Anas Alnasrie
(dipaksa tulis report sbb S/U tak smpt salin,huh!)




Monday, June 1, 2009

Ujian Sirah…Jawab jangan tak jawab?

Cuba sebutkan 10 sahabat yang dijamin masuk syurga!” Boleh jawab? Atau mungkin kita lebih cekap menjawab pertanyaan ”Sebutkan nama finalis Malaysian Idol”?

”Siapa nama sahabat yang diutus sebagai duta Islam pertama?” Tahu? Atau kita lebih tahu jika ditanya ”Siapa nama vokalis kumpulan Spider?”

”Cuba ceritakan kisah perang Uhud!” Bolehkah? Atau kita lebih lancar bercerita apabila disuruh menceritakan ”Bagaimana boleh si artis Norman itu bercerai dengan isterinya Abby?”

Begitulah remaja muslim atau bahkan mungkin kita sendiri termasuk di dalamnya. Tidak mengenal sejarah dan tokoh-tokoh Islam. Lebih mengenal para artis dan menjadikan mereka sebagai idola daripada mengenal para Nabi, dan para sahabatnya. Bahkan mungkin kita yang sering bergerak dalam dakwah seringkali enggan untuk mengkaji sirah nabawiyah atau sirah sahabat.

Bagaimana kita mahu mendakwahkan Islam jika kita tidak menyampaikan sebagiamana RasuluLLAH dan para sahabatnya berdakwah.Padahal dengan mengkaji sirah tersebut boleh dijadikan panduan dan teladan dalam kehidupan kita sehari-hari. Misalnya bagaimana tahapan dakwah RasuluLLAH, bagaimana memilih pasangan hidup, bagaimana dakwah fardiyah, bagaimana supaya istiqomah dalam dakwah, bagaimana RasuluLLAH berpolitik, mentadbir negara dan sebagainya.

Bagi yang memiliki anak kecil, sirah tersebut boleh diceritakan kepada mereka dengan bahasa yang disesuaikan dengan usia mereka. Itu jauh lebih bermanfaat daripada kisah Sang Kancil, Cinderella, Snow White, pelbagai cerita khayalan yang lain.Jadikan Sirah nabi dan para sahabat baginda sebagai teladan dalam kehidupan. Biar setiap tindak tanduk kita berpandukan sirah kekasih dan para sahabatnya.

Mari kita uji diri kita, bagaimana pengetahuan kita tehadap sirah Nabi dan para sahabatnya dengan menjawab soala-soalan di bawah. Jawab dalam hati pun tak mengapa:

1. Sebutkan sepuluh sahabat yang dijamin syurga!

2. Siapakah sahabat yang diutus RasuluLLAH sebagai duta Islam pertama?

3. Sebutkan sahabat-sahabat yang dikatakan mirip Rasulullah!

4. Sebutkan 10 orang sahabat yang paling awal menerima Islam

5. Siapakah nama sahabat yang dikenali sebagai Saifullah (Pedang ALLAH)!

6. Siapakah sahabat yang mencetuskan gagasan perang Khandaq (Idea menggali parit)

7. Sebutkan nama isteri-isteri Rasullah!

8. Siapakah sahabat yang sejak usia 13 tahun sudah ingin menyertai ayahandanya dalam Perang Badar!

9. Sebutkan nama sahabat yang dijamin masuk syurga kerana tidak pernah menyimpan rasa dengki kepada orang lain!

10. Siapakah sahabat yang termasuk dalam 10 sahabat yang dijamin masuk syurga, seorang pedagang yang berjaya tetapi tidak pernah ketinggalan sedikitpun dalam berjihad dengan jiwa dan hartanya di jalan ALLAH.

11. Siapakah sahabat yang mendapat gelar ”Bapa si miskin” dan ”Burung Syurga”?

12. Siapakah sahabat kepercayaan RasuluLLAH yang menyimpan rahsia RasuluLLAH?

13. Siapakah sahabat yang keluarganya dijanjikan tempat di surga dan siapakah nama ibunya yang menjadi syahidah pertama Islam?

14. Siapakah sahabat sekaligus sepupu RasuluLLAH yang berhasil menjadi jurubicara ketika kaum muslimin hijrah ke Habsyi?

15. Siapakah sahabat sekaligus bapa saudara RasuluLLAH yang mendapat gelaran ”Singa Allah”?

16. Bagaimanakah Saiydina Abu Bakr menghadapi ancaman Rom, golongan murtad dan golongan enggan membayar zakat sekaligus dalam keadaan beliau baru sahaja menjadi khaliah pertama selepas RasuluLLAH baru sahaja wafat?

17. Siapakah nama tiga sahabat yang ditangguh taubat mereka akibat tidak ikut serta peperangan Tabuk?

18. Zaman khalifah manakah kuasa Kisra Parsi tumbang?

19. Siapakah nama sahabat yang menggantikan general Khalid Al-Walid sebagai panglima perang dalam suasana perang masih berjalan?

20. Siapakah Muawiyah bin Abi Sufyan?

Ayuh, kawan-kawan..jom sahut cabaran ini, kita jawab dan bincang di blog ini.Jika ini adalah muslimat dan muslimin G7.

Dimanakah muslimin G7 yang berangan menjadi Handzalah, nah!! cuba uji pengetahuan sirah anda. Dimanakah muslimat G7 yang mengaku seperti Rabiatul Adawiyah mahupun Sumayyah, jika diri tak lengkap dengan sirah nabi.

Dimanakah muslimin G7 yang beringin memperisterikan muslimat seperti Fatimah az-zahra', layakkah anda !! andai jika ini pun, anda masih tidak mampu untuk menjawabnya. Dan dimanakah muslimat G7, andai ingin suami seperti Umar Ab Aziz tidakpun seumpama Saidina Ali andai diri, tidak mempersiapkan diri dengan ilmu sebegini.

Fikir-fikirkanlah, sama-sama kita berusaha..mencintai Sirah. Salam Sirah.