Friday, May 8, 2009

Aku Terima Nikahnya.....

Sekadar ingin berkongsi bicara, permulaan cerita ku lafazkan Bismillah.

Masjid besar Machang yang tersergam indah kali ini menjadi saksi ikatan dua mempelai. Sama padan sama sebanding. Kali ini, kami mujahidin dan mujahidat G7 berkonvoi sekali lagi, menyahut panggilan ukhwah ke bumi Kelantan darul Naim. Kalau dahulu sampai ke johor kami berangkatan, kini Machang taman Az-Zahraa’ jadi singgahan.

Bertemankan 3 buah kereta dari kuala lumpur, sebuah Saga merah BLM, Satria NEO hitam dan Naza SURIA biru. Kami memulakan perjalanan dari kampong baru, sebuah kampung yang tak bergelar kampong di perut kotaraya. Aduhai dari utara pula mengumpulkan beberapa orang sahabat ke dalam sebuah kereta MyVi Putih, baru dan belum terusik. Putihnya melambangkan kesucian, sesuci hati sahabat-sahabat dari utara meraikan teman yang berkahwin. Kembali ke Kota Bharu, sebuah Persona Ungu sedia menanti kehadiran kami, menyambut kami dengan seberkas kemanisan. Dari timur turut menyaksikan sebuah lagi kereta beraksi meluncur bertenaga dari arah kuala Terengganu, singgah ke besut untuk sampai melewati ke Machang. MyVi Oren yang dimiliki bukanlah cukup asing di negeri Cik Siti Wan Kembang, seakan serasi sudah di jalanan ini. Tidak cukup dengan itu, kegigihan tiga orang teman yang menaiki bas ekspres bertahan untuk sampai ke destinasi cukup begitu membanggakan malah amat mengharukan.

Tepat jam 11.30 pagi, sudah kebetulan ataupun suratan, walaupun bukanlah dari destinasi yang sama kesemuanya. Namun seakan seperti dirancang dan berjanji, semua yang diceritakan tiba serentak di perkarangan Masjid Besar Machang. Ketibaan kami disambut senyum mesra dua keluarga bakal pengantin. Wajah si pengantin lelaki yang sekejap kecut sekejap reda, terkadang melucukan kami pihak muslimin. Namun kami sedar siapalah diantara kami yang akan merasa debaran saat itu, yang pasti meluluh akan jiwa raga kami. Begitulah syabas dan hebatnya diucapkan kepada bakal sang suami yang masih lagi mampu bertenang dan kekal macho, disaat begini. Sekejap sempat juga ku mengerling ke belah pihak pengantin perempuan, mencari-cari libasan kerdipan mata ku akan si dara yang bakal menjadi bunga dikuntum orang. Alhamdulillah, kelibat berbaju kuning indah litup bertudung, menyerikan pandangan mata kami seseri wajah tuan punya tubuh, dengan senyuman yang tak lekang dari bibir, meraikan lagi kedatangan kami ke majlis akad ini.

Kedua-dua keluarga bersedia sudah, Imam selaku kadi tenang bersedia. Pengantin mengambil tempat dan kami juga menempati tempat masing-masing. Kini rukun telah sempurna, pengantin lelaki, pengantin perempuan, dua orang saksi, Wali dan tibalah hanya lafaz akad-Ijab dan Kabul yang dinantikan. Di ketika kerumunan mata hadirin menumpu pada tuan imam, dimulakan majlis dengan bacaan Al-fatihah dan selawat sebagai berkat. Nasihat dan peringatan terpacul dari bibit-bibit bibir tuan imam untuk sang pengantin, sebagai bekalan sebelum mengalas tugas suci yang penuh berat selepas ini. Kemuncak majlis disaat Wali sang puteri sehari menghulurkan tangan, bersambut oleh si pengantin lelaki untuk menyempurnakan lafaz akad ijab dan Kabul. Debaran kian terasa, entah di pihak kami penonton tak bertauliah, sudah begitu mendebarkan dan cukup menakutkan. Apalah gamaknya ek? Perasaan kedua-dua pengantin, hanya mereka yang tahu ertinya. Kita pula bagaimana? Hmm, tepuk tangan, tanyalah bila majlisnya?.

Terngiang-ngiang isunya “sekali lafaz atau dua kali lafaz ataupun lebih” ?? Apakah maksudnya, apakah ertinya? Alhamdulillah, bebaru ini sang pengantin tenang melafazkan lafzan Kabul dengan sekali lafaz sahaja. Saat bertanyakan dua saksi yang dilantik, mereka setuju mengesahkan sahnya lafaz ijab dan Kabul. Oleh itu, apakah yang peliknya..bukannya ape? Tatkala aku sebelum ini, sempat mendengar bisik-bisik beberapa rakan muslimat yang begitu mengambil berat tentang berapa kalikah bakal si suami mereka untuk lulus dalam lafaz ijab dan Kabul dengan sekali lafaz sahaja. Apakah pentingnya pada lafaz ijab dan Kabul pada mereka? Apakah kesannya? Entahlah aku juga kurang mengerti. Cuma jujurnya dihatiku, sebenarnya mengharapkan saudaraku turut mengambil lafaz akad untuk kali kedua. Kerana apa? Padaku saat lafaz ijab dan Kabul ini adalah suatu masa yang berharga dan begitu mendebarkan bagi sang suami. Bayangkan lah..dalam seumur hidup seorang lelaki di lahirkan didunia, perkahwinan adalah sesuatu saat yang cukup penting bermain dalam benak seorang lelaki. Saat melaksanakan lafaz akad menandakan bermulanya suatu dunia baru si lelaki dengan bergelar suami. Antara masih dalam keadaan percaya, yakin dan ragu semuanya bercampur baur. Namun hanya setelah keyakinan yang utama ditetapkan barulah lafaz akad mampu dilafazkan. Begitulah bagiku, sekali lafaz terlalu pantas, sepatutnya dua adalah yang terbaik, bukannya apa kerana padaku saat debaran itu lebih dirasai dan lebih panjang, cukup untuk menjadi ingatan aku dan bakal zaujah ku andai ku punyai jodoh suatu ketika nanti. Begitulah debaran perkahwinan, saat debaran seterusnya bagi insan bergelar lelaki selepas itu apabila menunggu saat menjadi si ayah. Perasaan ragu, gembira dan segalanya pasti kembali dan hanya satu sahaja. Dengan menetapkan hati dan perasaaan, pasti segalanya dapat diatasi. InsyaAllah.

Namun apa komen sang muslimat-muslimat yang berbisik itu. Entah?? Aku pun kurang arif, mungkin mereka punyai alasan mereka tersendiri. Dan aku punyai alasan ku tersendiri. Namun yang pasti, belum pernah ku dengari sebuah perkahwinan dibatalkan akibat sang pengantin tidak dapat melafazkan perkataan ijab dan Kabul. Belum? belum rasanya. Oleh itu, tidak kisah lah dan tidak kiralah seberapa banyak atau walau hanya sekali lafaz ijab dan Kabul itu. Ia sebenarnyalah kesempurnaan sebuah rukun perkahwinan. Tanpa ia maka tidak sahlah sebuah perkahwinan. Tanpa ia haramlah perkahwinan itu.Fikir-fikirkan lah….

0 comments: