Saturday, September 26, 2009

Perutusan AidilFitri Generasi Tujuh

Perutusan AidilFitri

Syukur ke hadrat Allah kerana berjaya kita menempuh dan melalui bulan Ramadan al-Mubarak dengan penuh ketaatan dan ketekunan. Ramadhan adalah sebagaimana misalan Tuan guru Haji Nik Aziz, adalah ibarat bulan bengkel dimana untuk kita menukar dan membaiki nafsu-nafsu yang ada dalam diri masing-masing. Dan sungguhnya di sepanjang ramadhan yang mulia ini, tentulah tiadalah hadiah kejayaan yang terlebih besar dan istimewa dari kejayaan memperoleh status takwa.

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertakwa." (maksud al-Baqarah: 103)

Ketakwaan ini akan membawa kita untuk terus beristiqamah dalam menyongsong perjuangan yang serba mencabar ini. Sesungguhnya kejayaan kita yang sebenar bukanlah sahaja kejayaan didunia malah kejayaan di akhirat yang kekal abadi.

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar." (maksud al-Ahzab: 71)

Semoga kurnia takwa ini akan mendorong kita untuk terus kekal berjuang meninggikan kalimah Allah sehingga terlaksana syariat-Nya.

Di sinilah pentingnya kejayaan Ramadan sebagai obor pembimbing kita pada setiap ketika. Kita semua ahli generasi tujuh, generasi pemangkin rabbani perlulah terus menerus mempertingkatkan pengabdiaan diri kepada allah, bermunajat untuk kekuatan jemaah, meningkatkan kerja dakwah bagi menegakkan laungan islam yang dicintai.

Dan seharusnya diingatkan oleh setiap peringkat ahli, Generasi 7 sebagai sebuah entiti jemaah yang masih sedang menapak di dalam umurnya, seharusnya perlulah diberi banyak ruang dan peluang untuk ia mencapai dan menggarap kejayaannya tersendiri. Seingatnya momentum ukhuwah yang dimiliki dan hadir dalam setiap diri generasi 7 selama haruslah dimaksimakan sepenuh dan seoptimumnya dalam menjadikan ia suatu titik tolak kekuatan dan titik pertukaran generasi 7 lebih terkehadapan dan berjaya lagi. Walaupun demikian, jelasnya hakikat ukhwah yang dimiliki oleh generasi rabbani ini, perlulah juga sentiasa dimuhasabah dan dinilai semula dalam konteks untuk menghasilkan ukhwah yang lebih mantap dan terpuji.

Begitu juga dalam konteks pembaharuan keupayaan tarbiyah dan dakwah, seharusnya para generasi rabbani tidaklah hanya mengharapkan dan masih mengenangkan zaman-zaman di universiti yang diberikan latihan-latihan rohani yang berkala dan tersusun. Tetapi kini, diharapkan para generasi rabbani yang kini masing-masing sudahpun berkarier dan berjawatan, seharusnya untuk tidak melupakan diri dan terlalai dalam membina jati diri tarbiyyah diri masing-masing semampu yang upaya, walau dimana kita berada dan bertugas. Sesungguhnya kehidupan hari mendatang amat mencabar, maka lengkapkan lah diri kita dengan ilmu-ilmu agama selain mengejar dunia yang sementara. Dan ingatlah bukan sahaja kejayaan dunia yang diingini malah yang lebih penting dan utama adalah keredhaan dan kerahmatan Allah diakhirat.

Akhirnya, saya menyeru supaya kita setiap ahli untuk menjadikanlah program ziarah menziarahi pada Syawal ini sebagai medium untuk meningkat hubungan baik dengan sesama ahli dan masyarakat sekeliling. Jadikan juga Syawal ini adalah masa untuk bermaaf-maafan sesama ahli kerana dalam kita berukhwah dan bersahabat tiada semua yang benar-benar sempurna, marilah kita sama-sama memaafkan kesilapan dan kesalahan sahabat-sahabat kita, lebih–lebih lagi sahabat yang terdekat dengan kita. Kesilapan yang mungkin timbul daripada salah faham, kesilapan dan kekurangan masing-masing. Semoga kita semua berlapang dada tidak sekadar dimulut malah menterjemahkannya dihati-hati kita.
Dan saya mulakan dengan diri saya sendiri, Selamat menyambut hari raya Aidilfitri dan maaf zahir batin..tidak kira untuk semua muslimin dan semua muslimat G7 yang ada. Diharapkan semoga Allah memberkati perhubungan kita semua. InsyaAllah. Amin.

0 comments: